Monday, December 20, 2010

KEGAWATAN EKONOMI: APA PERANAN KITA?



Islam menuntut umatnya agar sentiasa berusaha dan berwaspada untuk memperbaiki tahap mutu hidup serta mengelak dari terjerumus kepada kemelut kemiskinan dan kepapaan. Kemiskinan dan kepapaan akan menyebabkan kita hilang keyakinan diri dan sanggup menggadai maruah diri. Di peringkat yang lebih menakutkan, kepapaan boleh menyebabkan manusia mencari pekerjaan yang tidak bermaruah, rendah akhlak serta menjadi kufur. Sebagaimana hadis menyatakan "Hampir-hampir kefakiran itu membawa kekufuran".

Sebagai penjawat awam contohnya, hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan prestasi dengan mengurangkan karenah birokrasi dan prosidur-prosidur yang tidak wajar agar proses sesuatu permohonan itu dapat dipercepatkan. Sekiranya kita sengaja melengahkan kerja yang diamanahkan, maka ini bermakna kemalasan itu adalah satu sifat keji. Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya, Allah suka apabila salah seorang dari kamu melaksanakan sesuatu tugas, hendaklah ia diperhalusi (diteliti)".

Selain itu, kita hendaklah menjalankan tugas dengan ikhlas untuk mengelak dari terjebak kepada unsur-unsur rasuah atau perkara yang dikutuk oleh Allah SWT. sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ahzab ayat 72:

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil."

Manakala mereka yang bekerja sendiri seperti peniaga, petani dan sebagainya, hendaklah menjalankan kerja dengan penuh keikhlasan dan tekun agar hasil kerja kita memuaskan pihak pelanggan dan pembeli. Sesungguhnya Allah SWT akan sentiasa memberi rahmat dan pahala kepada mereka yang menjalankan kerja dengan sempurna kerana Allah sangat suka kepada kesempurnaan.

Berusaha membantu menegakkan ekonomi umat Islam adalah satu tuntutan. Ianya seperti membantu usaha pihak pemerintah untuk mengukuhkan ekonomi negara dalam pelbagai aspek. Tanggungjawab ini turut dipikul oleh rakyat sebagai pengguna. Setiap produk memerlukan pengguna dan pembeli. Justeru, pengguna adalah satu bahagian penting dalam perbelanjaan negara.

Apa yang penting, umat Islam hendaklah menjadi pengguna yang berhemah, iaitu berbelanja dengan cara yang tidak membazir. Ingatlah bahawa pembaziran itu adalah was-was syaitan. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 27:

Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Amalan kewangan yang tidak boros tetapi berhemah, akan dapat membantu kita membeli hasil keluaran dan perkhidmatan orang lain dan dengan demikian mereka pula akan menerima pendapatan halal dari kita dan seterusnya mengekalkan peluang pekerjaan mereka.

Justeru, berikut disenaraikan peranan kita apabila menghadapi kegawatan ekonomi seperti berikut:

1) Lindungi & Kukuhkan Punca Pendapatan

Mereka yang bekerja makan gaji, inilah masanya untuk anda meningkatkan lagi prestasi kerja anda dengan cara melebihkan sedikit sewaktu bekerja, bekerja dengan lebih tekun, serta meningkatkan lagi kemahiran-kemahiran anda. Berbelanja tidak melebihi had yang kita mampu. Selain itu, sentiasa hidup dalam keadaan tidak menunjuk-nunjuk. Hidup dalam keadan tenang, gembira dan bersyukur pada setiap masa. Seperti firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 12:

"Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Lukman, iaitu: "Bersyukurlah kepada Allah. Dan barang siapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barang siapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."

2) Tambahkan Punca Pendapatan Anda

Banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menambahkan punca pendapatan. Ramai orang yang memberikan alasan dan berkata.. "Saya bukannya tak mahu buat, cuma takde masa?". Zaman sudah berubah, dunai dah maju, sudah ada banyak peluang-peluang menjana pendapatan sampingan yang tidak memerlukan anda menghabiskan banyak masa seperti berniaga dan sebagainya yang halal di sisi Islam. "Mencari yang halal itu satu kewajipan setiap Muslim"

3) Kurangkan Perbelanjaan Anda

Walaupun tidak bimbang akan kehilangan pekerjaan, kita sewajarnya perlu menyimpan seberapa banyak yang boleh untuk perlindungan. Sebahagian pakar ekonomi mengatakan, perlu menyimpan untuk menampung keperluan hidup untuk selama 6 bulan sehingga 9 bulan. Dengan mempunyai simpanan tunai, kita dapat membuat perancangan kita di masa kecemasan. Melabur untuk masa hadapan hanya boleh dilakukan jika kita mempunyai pendapatan yang lebih di setiap hujung bulan. Cuba-cubalah lihat kembali bagaimana kita dapat mengurangkan apa-apa juga perbelanjaan harian atau bulanan. Contohnya seperti bil-bil perkhidmatan dan apa-apa juga jenis pembayaran bulanan anda. Elakkan daripada pembaziran perbelanjaan yang bukan keperluan.

Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan

4) Membuat Pelan Perbelanjaan

Dengan membuat pelan perbelanjaan atau budjet, ia dapat mengawal perbelanjaan kita dan dapat mengenal pasti jumlah yang perlu kita buat simpanan untuk setiap bulan. Dengan mempunyai pelan perbelanjaan juga akan dapat membantu kita untuk membuat keputusan pelaburan. Buatlah pelaburan yang bersistematik terutamanya pada waktu pasaran menurun.

5) Amalan "Berkira" dan Menabung

Dalam situasi semasa di mana kos kehidupan semakin hari semakin meningkat, maka sebagai pengguna kita perlu "berkira" ketika berbelanja. Jika dahulu kita telah pun mengambil langkah berjimat cermat, kini kita perlu lebih berhati-hati ketika berbelanja. Berjimat cermat tidak cukup dengan sekadar membelanjakan kesemua pendapatan bulanan pada setiap bulan, seharusnya ada perancangan dan usaha untuk menyimpan atau menabung pendapatan bulanan tersebut, kerana amalan atau budaya untuk menyimpan atau menabung sangat penting bagi kegunaan masa depan. Tabungan atau menyimpan bukan dikira samada banyak atau sedikit, tetapi sentiasa konsisten pada setiap masa.

6) Elakkan Tabiat Berhutang

Selain dari mengamalkan sifat kesederhanaan dalam segenap aspek kehidupan dengan berjimat cermat dan tidak melakukan perbuatan membazir, kita juga tidak digalakkan berhutang. Berhutang atau meminjam seharusnya tidak dijadikan satu kelaziman dalam kehidupan zaman ini, walaupun ada ketikanya ia tidak dapat dielakkan kerana keperluan mendesak seperti pembelian rumah dan kereta. Namun paling ketara dan perlu diberi perhatian yang serius ialah penggunaan kad kredit. Dengan pendapatan bulanan minimum RM 1,500.00 saja, seseorang sudah layak menggunakan kad kredit. Melalui pelan bayaran balik yang sedikit jumlahnya pada setiap bulan telah menyebabkan ramai yang terlupa. Sebenarnya mereka juga perlu membayar balik jumlah hutang atau kredit yang telah digunakan dalam tempoh masa yang lebih panjang.

Setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan harus setimpal dengan nilai barangan atau perkhidmatan yang anda perolehi. Dengan cara ini, barulah kita berjaya menjadi pengguna yang bijak dan berhemah.

Berikut disenaraikan beberapa tips atau panduan berguna kepada pembaca untuk memastika mereka memperolehi nilai maksimum daripada setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan.

* Beli barang keperluan, termasuk barangan dapur, secara pukal.
* Amalkan tabiat membandingkan harga barangan di antara beberapa kedai sebelum membeli.
* Tukar tabiat daripada suka membeli barangan import kepada barangan buatan tempatan.
* Kurangkan (atau elakkan) makan di luar.
* Sediakan bekal kepada anak-anak untuk ke sekolah.
* Elakkan membeli barangan mewah seperti kereta, pakaian, barangan kemas, perabot dan aksesori berjenama.
* Jika anda mampu dan berkebolehan, carilah masa serta ruang untuk menyediakan sendiri peralatan rumah seperti menjahit langsir dan pakaian keluarga.
* Elakkan daripada mengadakan kenduri di hotel atau restoran mewah.
* Bagi yang mempunyai kenderaan, carilah masa yang sesuai untuk mencuci sendiri kenderaan anda.
* Elakkan membeli minuman siap yang dibotolkan.
* Jika berkesempatan dan lebih ekonomi, anda dan pasangan juga boleh membawa bekal ke tempat kerja atau pejabat.
* Jika perlu, tanam sendiri sayur-sayuran.
* Pujuk diri sendiri supaya tidak terpengaruh dengan kempen jualan murah atau apa juga bentuk promosi.
* Sediakan senarai barang keperluan yang hendak dibeli sebelum anda keluar membeli-belah.
* Elakkan membawa wang melebihi jumlah yang anda ingin berbelanja.
* Jangan bawa kad kredit ketika membeli belah.
* Elakkan daripada membuat hutang baru.
* Tingkatkan tabungan anda dan keluarga.

Jika anda komited dan mempunyai disiplin diri yang kuat, InsyaAllah, tips di atas dapat membantu anda dan keluarga meminimumkan perbelanjaan seharian.

0 komen:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Think and share Copyright © 2009-2010 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template