Saturday, October 16, 2010

Kelantan Mara Ke Separuh Akhir


Sumber : mstar online
KOTA BHARU: Kelantan mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia apabila membenam Selangor dengan agregat 3-0 pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam Jumaat.

Kelantan membuktikan kesungguhan dan semangat juang tinggi di gelanggang sendiri selepas mengikat Selangor dengan keputusan seri tanpa jaringan pada perlawanan saingan suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, Selasa lepas.

Perlawanan bermula dengan rentak agresif apabila kedua-dua pasukan saling mengasak kubu masing-masing sebelum R. Surendran melepaskan sepakan lemah tepat ke arah penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ketujuh.

Kehadiran lebih 20,000 penonton di stadium telah meniupkan semangat pasukan Kelantan untuk memburu gol pembukaan dan ia berbaloi pada minit ke-13 menerusi Mohd Nur Farhan Muhd yang melepaskan sepakan dalam kotak penalti.

Gol pembukaan tersebut terus memberi semangat dengan Akmal Rizal Ahmad Rakhli berjaya menanduk masuk bola di sudut sebelah kanan gawang Selangor untuk gol kedua Kelantan pada minit ke-24.

Bagaimanapun, Selangor memulakan babak kedua dengan melakukan asakan ke pintu gol lawan namun gerakan barisan depan anak buah K. Devan berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan Kelantan.

Selangor akhirnya terpaksa mengakui kehebatan 'Red Warriors' selepas pasukantuan rumah itu menyumbat gol ketiga pada minit ke-79 menerusi Mohd Badhri Mohd Radzi yang menerima umpanan kemas dari Ahmad Rizal.

Perlawanan tersebut dikawal ketat oleh pasukan keselamatan bagi mengelak insiden kekecohan di Stadium Shah Alam daripada berulang dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang perlawanan tersebut. - BERNAMA

0 komen:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Think and share Copyright © 2009-2010 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template